Friday, 27 March 2009

Kenapa ada gambar Katak dan Kodok dalam blog sosiologi dan antropologi?

Ada pengunjung yang bertanya kenapa blog yang sepatutnya membicarakan tentang isu-isu sosial dan budaya mempamerkan gambar kodok dan katak? Sebenarnya memang bukan tujuan pemilik blog untuk membicarakan tentang hewan yang bernama kodok dan katak dalam blog yang seharusnya membicarakan isu-isu yang menyentuh homo sapiens sapiens. Gambar-gambar kodok dan katak itu dimuatkan dalam blog ini kerana gambar-gambar itu cuba menceritrakan satu fenomena yang sebetulnya tidaklah begitu baru yang sering berlaku dalam aktivitas politik di Malaysia iaitu aktiviti "lompat melompat partai".

Sebenarnya fenomena lompat melompat partai di Malaysia adalah fenomena lama. Di negeri pemilik blog ini yang bernama Sarawak fenomena "bertukar parti" semasa menjelang pilihan raya ini sudah mula berlaku sejak negeri Sarawak membantu wilayah Malaya menubuhkan Malaysia pada tahun 1963. Fenomena "katak" ini memang disedari cukup penting dari segi menentukan nasib partai yang baru bergerak atau bertapak. Sejak Sarawak turut serta menubuhkan Malaysia kegiatan "lompat parti" atau menjadi "katak politik" ini cukup lumrah sehingga pengundi-pengundi di negeri tersebut sudah tidak begitu yakin lagi akan janji-janji ahli politik kerana janji-janji mereka adalah seperti bunyi-bunyi katak yang begitu meriah atau rami sewaktu selepas hujan pada malam hari. Janji-janji ahli politik ini juga sudah mula dilihat sama seperti janji-janji seorang penyanyi yang merintih-rintih dan merindu-rindui kekasih semasa sedang menyanyi - berjanji hidup setia dan hidup semati tetapi selesai saja rakaman lagu itu si penyanyi ini sudah berpegangan tangan dan bepelukan dengan perempuan yang lain.

Di Malaysia fenomena melompat parti ini sering berlaku kerana kurang teguhnya pegangan, pendirian serta prinsip-prinsip politik seorang calon parti semasa mereka membuat keputusan untuk bertanding dalam sebuah pilihan raya kecil maupun besar. Oleh kerana ramai calon politik di Malaysia lemah dari segi mental, fizikal, psikologi dan capital maka apabila diugut atau digula-gulakan dengan ganjaran wang, kereta dan perempuan calon politik ini tidak teragak-agak untuk melepaskan peluang. Tanpa membuang waktu untuk berfikir panjang memikirkan soal prinsip dan ideologi politik calon-calon politik ini terus serta merta bertukar bentuk dan kulit dari manusia yang bergelar homo sapiens sapiens yang memakai warna parti tertentu berubah menjadi amfibia atau amphibian yang bewarna hijau atau cokelat yang boleh melompat dan melekat terus ke parti musuh atau parti lawan kerana terlihat cahaya ganjaran material dan kekayaan.

Golongan yang sering melompat parti inilah yang dinamakan "Katak" atau "Kodok" politik di Malaysia. Manusia yang hidup sebagai separuh amfibia dalam dunia politik Malaysia memang sentiasa ada dan jumlah pembiakan mereka cukup tinggi pada "musim hujan politik" atau pilihan raya. Rakyat Malaysia harus berhati-hati dan berwaspada pada musim pilihan raya kecil maupun besar kerana pada masa "musim hujan politik" atau pilihan raya kecil atau besar inilah katak dan kodok politik Malaysia ini membesar dengan cepat dan sentiasa bersedia untuk melompat dan bertukar parti. Jenis-jenis katak ini juga sama dengan jenis-jenis kaum yang terdapat di Malaysia. Pada masa dulu katak-katak ini lebih ramai Melayu,India maupun Iban dan jarang sekali Cina. Kebelakangan ini penyakit katak ini sudah mula berjangkit dan menular sehingga selain Melayu, India dan Iban ada juga katak Cina yang sudah sanggup untuk turut serta. Sayangnya dalam budaya Melayu katak atau kodok tidak dimakan; katak hanya ditangkap oleh golongan petani untuk dijual atau diperdagangkan. Di negeri-negeri Indocina seperti Thailand, Kampuchea dan Vietnam lain pula amalannya....

Free Hit Counter